Tuesday, 5 November 2013

Komen berkaitan Artikel 3: Balkanisasi Siber: Gangguan kepada semangat 1 Malaysia

Apa yang dapat saya ulaskan selepas membaca Artikel 3: BALKANISASI SIBER: GANGGUAN KEPADA SEMANGAT 1 MALAYSIA melalui blog suaramurba.blogspot.com yang merupakan hasil nukilan Dr. Rahmat Ghazali yang merupakan seorang pensyarah di Fakulti Komunikasi Massa dan Pengajian Media UiTM Shah Alam. Istilah Balkanisasi Siber dapat didefinisikan sebagai suatu analogi gejala media yang menjadikan khalayak terpisah dan tidak sealiran dengan kumpulan yang mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza.
Dalam konteks ini, balkanisasi siber lebih menjurus kepada kemajuan dan perkembangan teknologi media baru yang merupakan pemangkin kepada kepesatan budaya balkanisasi siber dalam kalangan anggota masyarakat. Internet merupakan sebuah medium yang membolehkan setiap maklumat yang diperlukan diperolehi di sini. Selain itu, sifat internet dan sesawang web yang lumayan dengan berita dan maklumat ini mungkin sukar untuk kita temui di media tradisional. Lantaran itu, pelbagai maklumat yang boleh diperolehi oleh setiap pelayarnya sama ada dalam konteks positif ataupun negatif kerana kebebasan mendapat maklumat di internet tiada penghujungnya.
Namun, kebebasan yang diberikan untuk memperoleh maklumat di internet haruslah digunakan dengan sebaiknya. Dewasa ini, keterbukaan untuk mendapat maklumat di internet mungkin mengundang kepada budaya yang dilihat bakal mencemarkan budaya perpaduan kaum di Malaysia dan menghalang Malaysia untuk mencapai semangat 1 Malaysia yang pernah diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib Tun Razak suatu masa dahulu.
Keterbukaan untuk mendapat maklumat dan menyalurkan maklumat kepada orang awam melalui internet mampu mengundang kepada budaya balkanisasi siber dalam kalangan anggota masyarakat. Ya, pengembangan teknologi dan kemajuan media baru seperti internet merupakan sesuatu yang sukar dikawal kemajuannya. Namun, bagi mencegah dan mengawal media baru daripada menjadi hub ataupun medium pengembangan balkanisasi siber, beberapa langkah pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha mengawal budaya balkanisasi.
Justeru, setiap orang yang ingin menulis, menyampai, berkongsi dan mengutarakan pandangan mereka melalui penulisan dan dipamerkan di internet haruslah mengikut etika kewartawanan yang telah digariskan. Walaupun etika kewartawanan dilihat sebagai sesuatu yang mencabul hak untuk kebebasan bersuara namun atas dasar keselamatan dan ketenteraman Malaysia kebebasan ini perlu dikawal dan diperhatikan supaya sesuatu yang tidak diingini tidak akan berlaku.
Sebarang bentuk penulisan, audio mahupun visual yang ingin disiarkan perlulah mengikut garis panduan dan etika kewartawanan yang telah ditetapkan. Setiap pelayar internet perlu mengetahui etika semasa menulis bagi mengelakkan penulisan yang berbaur perkauman, menghasut, memfitnah yang boleh memangkin kepada balkanisasi siber.

Selain itu, undang-undang yang telah ditetapkan seperti Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 juga perlu dipatuhi oleh setiap orang dalam usaha membanteras balkanisasi siber.

No comments:

Post a Comment