Monday, 2 December 2013

Gelandangan: Isu yang perlu diberi perhatian

Dewasa ini, isu gelandangan yang tumbuh ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dalam komuniti masyarakat kita dilihat semakin membimbangkan. Golongan gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap memilih untuk menjadikan kawasan kaki lima, jejantas dan juga kawasan di bawah jambatan sebagai tempat untuk mereka berteduh. Hal ini dilihat sebagai sesuatu fenomena yang kurang baik kerana dapat menjejaskan reputasi baik negara sebagai sebuah negara yang sedang membangun.

Oleh yang demikian, setiap warganagera Malaysia haruslah memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk bersama menangani permasalahan ini. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya tidak boleh memandang rendah dan enteng terhadap golongan ini. Seharusnya, kita perlu bersama turun padang bagi menyelami perasaan dan isi hati mereka. Mereka harusnya perlu didekati bagi diberikan sokongan moral dan juga kekuatan untuk meneruskan kelangsungan hidup dan bukannya dicaci dan dianggap sebagai sampah masyarakat.

Oleh yang demikian, keprihatinan yang ditunjukkan oleh Yusof Soup Kitchen dalam membantu untuk menyalurkan bantuan kepada golongan gelandangan ini harus diberi pujian. Sikap si kemasyarakat dalam usaha membantu golongan kurang bernasib baik.

Yusof Soup Kitchen merupakan satu pertubuhan yang menyalurkan bantuan kepada golongan gelandangan seperti makanan dan pakaian. Aktiviti pertubuhan ini akan beroperasi pada setiap hari Selasa, Khamis, Jumaat dan juga Ahad. Pudu dan Plaza Kota Raya merupakan antara lokasi yang dipilih sebagai tempat untuk mengedarkan bantuan kepada golongan gelandangan ini. Mereka akan berkumpul pada jam 10.00 malam bagi menerima bantuan yang disalurkan.

“ Masalah keluarga, hidup tidak seronok dan berasa sunyi” jelas Hassan atau lebih dikenali sebagai Chan, 18 tahun apabila ditanya mengenai punca utama yang menyebabkan dia menjadi gelandangan. Selain itu, tiada pekerjaan tetap dan sukar meneruskan kehidupan di kota raya juga meruapakan antara penyebab yang menyebabkan dia tidak dapat berdikari di kawasan Kuala Lumpur seterusnya menjadi gelandangan di negara sendiri.

Lain pula dengan kisah Harun, 22 tahun, punca utama yang menyebabkan beliau menjadi gelandangan ialah dia berasa seronok hidup dengan cara sedemikian.” Dulu saya kerap kena buli di rumah anak yatim, lepas lari dari situ, saya berasa seronok tinggal berseorangan” tambah beliau. Bagi meneruskan kehidupan, dia bekerja sebagai pembantu restoran dan mengambil upah mengilapkan kasut orang awam yang lalu lalang di kawasan tersebut.

“ Golongan ini perlu dibantu dan kami di Yusof Soup Kitchen sedia untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan” jelas pengasas Yusof Soup Kitchen, Datin Hajah Fatin Hamimah Yusof tatkala disoal mengenai objektif utama pertubuhan ini. Tambah beliau lagi, setiap gelandangan ini akan diberi bantuan makanan dan juga kelengkapan hidup seperti selimut dan peralatan mandi. Bantuan ini telah disumbangkan oleh orang ramai dan juga tajaan daripada badan-badan korporat yang ingin menjalankan tanggungjawab sosial mereka.


Kesimpulannya, orang awam haruslah memainkan peranan yang penting dalam usaha bagi menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan ini. Mereka perlu dibantu untuk meneruskan kelansungan hidup dan bukannya dicaci serta dihina.

No comments:

Post a Comment